*gambar seterusnya akan di upload dari semasa ke semasa*

Sunday, September 2, 2012

Panduan Am Jemaah Haji - Doa

DOA:

Doa adalah diantara rentetan amalan yang banyak dan kerap dilakukan sepanjang kerja haji. Maka itu, ada banyak buku-buku doa di pasaran yang boleh dibeli oleh bakal jemaah haji . Kebanyakan doa-doa tersebut dalam bahasa Arab disamping terjemahannya. Sebaiknya doa-doa tersebut dihafal atau setidak-tidaknya dilancar bacaannya sebelum berangkat ke Mekah atau Madinah. Sekiranya anda masih tersangkut-sangkut ketika membaca doa dalam bahasa Arab, baiklah anda berdoa dengan membaca terjemahan doa tersebut. Tentulah ia lebih lancar dan dapat anda difahami. InsyaAllah anda akan lebih menjiwai doa tersebut.

Lazimnya, anda akan menerima permintaan kiriman doa dari sanak saudara, rakan taulan yang belum terpilih untuk menunaikan haji. Malah mereka yang pernah menunaikan haji atau umrah pun turun mengirimkan doa untuk anda baca dihadapan Kaabah. Mana mungkin anda dapat mengingati semua kiriman doa-doa mereka itu. Sebaiknya anda mintalah mereka masing-masing menulis doa mereka pada satu buku catatan yang akan anda bawa bersama ke Tanah Suci supaya boleh dibacakan doa tersebut ketika anda berada di hadapan Kaabah kelak.

Kadangkala disebabkan anda sibok dengan urusan persiapan ke Tanah Suci, anda terlupa merancang doa dan hajat anda sendiri. Mungkin anda merasakan, mana mungkin anda tidak tahu atau lupa pada hajat dan doa anda sendiri. Tentunya ia boleh dibaca terus melalui lintasan fikiran anda ketika bermunajat dihadapan Kaabah nanti. Percayalah, jika anda belum melazimi doa-doa tersebut ketika di tanah air, anda akan tersangkut-sangkut ketika anda berdoa di hadapan Kaabah. Malah anda akan tercari-cari perkataan untuk disebut ketika berdoa. Tentulah menjadi sukar bagi anda untuk mengulang-ulanginya. Lebih-lebih lagi jika anda mempunyai hajat peribadi yang banyak. Sebaik-baik orang berdoa itu adalah dengan mengulang-ulanginya. Tentunya hajat anda lebih panjang berbanding hajat dan doa mereka yang mengirimkan doa melalui anda. Untuk mengelakkan kejadian ini, anda perlu ada catatan doa peribadi anda sendiri.

Oleh itu adalah dicadangkan, anda sendiri sediakan skrip doa anda sendiri. Tulis dalam buku catatan anda. Cara ini anda tidak akan mudah terlupa, sebaliknya anda akan mudah dan lancar membaca doa tersebut ketika anda bermunajat dihadapan Kaabah nanti. Malah, akan mengalir air mata anda, seolah-olah doa tersebut datang dari lubok hati anda sendiri. Lebih banyak anda ulang-ulanginya, akan lebih syahdu doa anda itu.

Anda juga boleh susun turutan doa-doa peribadi anda yang akan anda baca dan diulang-ulangi, umpamanya doa ketika di Masjidil Haram, doa jika anda berkesempatan berada di Jabal Rahmah atau doa ketika anda wukuf di Arafah atau pun doa ketika di Masjid Nabawi, Madinah dan sebagainya.

Melalui cara ini, tidaklah anda pulang ke Tanah Air dengan sesalan kerana tidak cukup berdoa ketika berada di Tanah Suci. Kesempatan ke Tanah Suci Mekah dan Madinah bukan datang selalu. Mungkin ia sekali seumur hidup anda.

Semoga ia menjadi panduan bermenfaat kepada anda yang terpilih menjadi tetamu Allah. Amin....!