*gambar seterusnya akan di upload dari semasa ke semasa*

Saturday, August 25, 2012

Panduan Am Jemaah Haji - Tasbih 7 Biji

TASBIH 7 BIJI:

Tasbih 7 biji berguna untuk membantu mengingat bilangan tawaf atau saie. Disebabkan kita berasak-asak ketika tawaf atau saie menyebabkan kita mungkin terlupa kiraan bilangan tawaf atau saie. Untuk menghilangkan keraguan bilangan tersebut dinasihatkan jemaah haji mennggunakan alat pembilangan tasbih 7 biji ini. Longsorkan sebiji sebaik sahaja selesai satu pusingan tawaf atau satu larian saie. Hinggalah selesai 7 biji untuk selesai tawaf atau saie.

Alat pembilang elektronik atau bukan elektronik ada dijual dipasaran. Bagaimana pun Tasbih 7 Biji ini boleh dibuat sendiri dengan biji tasbih terpakai atau manik-manik sebanyak 7 biji, benang kasar dan gelang cincin kunci. Saiz  gelang cincin kunci ini sebaiknya muat untuk disarungkan pada jari anda.

Masukan manik-manik 7 biji dalam benang kasar. Biji manik tersebut perlulah boleh dilongsor dan tetap pada kedudukan setelah dilongsor. Tidak seperti tasbih biasa, dimana biji tasbihnya terlalu longgar. Manik 7 biji disusun memanjang. Matikan di satu hujung benang pada gelang cincin kunci dan satu hujung disimpul mati supaya manik-manik 7 biji tersebut tidak jatuh.

Cara menggunanya, sarungkan gelang cincin pada mana-mana jari anda dengan biji tasbih dalam genggaman.

Longsor kesemua 7 biji kesatu hujung. Sebaik anda menamatkan dengan sempurna satu pusingan tawaf atau saie, longsorkan sebiji tasbih kehujung yang kosong. Ulang sehingga selesai tawaf atau saie. Apabila kesemua 7 biji tasbih telah dilongsor ke hujung benang yg bertentangan, yakinlah anda telah menyelesaikan 7 pusingan tawaf atau 7 larian saie.

Diharap kaedah ini dapat membantu anda ketika mengerjakan tawaf dan saie.  

Panduan Am Jemaah Haji - Saie

SAIE dan BERGUNTING:



Saie:
Untuk panduan, lokasi tempat saie adalah disudut Hajar Aswad pada Kaabah. Tempat saie ini telah pun bercantum dengan Masjidil Haram. Malah ketika solat waktu, tempat saie ini turut dipenuhi oleh jemaah untuk bersolat. Jika anda sedang menghadap Kaabah di sudut Hajar Aswad, di kiri anda adalah Safa dan Marwa di kanan. Saie dimulakan dari Safa dan berakhir di Marwa. Gunakan tasbih tawaf 7 biji bagi mengingati bilangan saie mencukupi 7 dan mesti berakhir di Marwa. Jika ragu2 bilangan tersebut, tambahlah sehingga yakin cukup 7 dan mesti berakhir di Marwa.

Berdoa:
Digalakkan berdoa setiap kali tiba di Safa atau Marwa. Buku doa haji akan banyak membantu. Bawalah bersama dgn menggantung dileher anda. Jika anda tidak hafal, buka dan bacalah doa-doa tersebut. Pengalaman saya, membaca terjemahan doa dalam bahasa Melayu lebih menusuk kalbu kerana ia difahami. Usah malu membaca doa dalam bahasa Melayu dengan suara yang agak kuat dengan lancar, sebab jemaah lain disekeliling kita bukan orang Melayu. Mereka tak faham dan tak peduli pun. Sebaliknya anda akan terasa syahdunya doa tersebut.

Bergunting:
Selesai saie boleh terus bergunting di Marwa. Usah terima tawaran upah gunting rambut di sini. Anda mungkin akan terperangkap dengan harga yang teramat-amat tinggi. Sebaiknya anda guna gunting sendiri. Bawalah sendiri gunting lipat yang kecil.

Jika anda menawarkan diri untuk menggunting rambut jemaah yang lain, anda perlu bersedia dengan keadaan ini. Sebaik sahaja anda selesai menggunting satu kepala akan ada kepala2 lain meminta untuk mohon tolong diguntingkan.

Jika anda menawarkan gunting anda untuk dipinjamkan kepada jemaah lain. Anda akan menunggu lama disitu kerana gunting tersebut akan bertukar-tukar tangan jemaah.

Semoga ia menjadi panduan berguna kepada bakal jemaah haji.

Panduan Am Jemaah Haji - Tawaf


TAWAF:



Suasana di Masjidil Haram tidak pernah sepi. Sepanjang masa akan ada jemaah mengerjakan ibadat di sana. Miskipun jika anda kunjungi pada jam 3:00 pagi, di Masjidil Haram masih ramai jemaah. Malah kita tidak terasa ketika itu adalah jam 3:00 pagi, kerana suasana di Masjidil Haram, sama sahaja samaada pada siang atau malam. Jemaah yang beribadat, bertawaf dan saie tak pernah berhenti melainkan diwaktu solat 5 waktu. Oleh itu untuk panduan menghadapi kesesakan ini, pertimbangkan pengalaman jemaah yang lalu ini.

Tawaf di dataran tawaf disekeliling Kaabah boleh diselesaikan dalam masa 15 minit jika dibuat berterusan berbanding 45 minit jika dibuat ditingkat atas. Di dataran tawaf memang sesak terutama di sudut Hajar Aswad, makam Ibrahim dan sudut Yamani. Di sudut Hajar Aswad sesak disebabkan ia tempat pertembungan jemaah yang sedang tawaf dengan jemaah yang berhajat mengucup Hajar Aswad dan jemaah yang sedang memulakan tawaf. Di lokasi makam Ibrahim sesak disebabkan jemaah bergerak mengelak binaan makam Ibrahim. Pergerakan akan lancar jika kita menurut aliran gerakan, tidak bertolak-tolak atau potong memotong. Banyakkan bersabar dengan memberikan tumpuan kerja tawaf yang dilakukan.

Untuk mengelakkan kesesakan ini, gunakan kaedah lilitan spring. Anda boleh mulakan masuk dataran tawaf di mana-mana sudut Kaabah yang agak longgar. Gerak mengelilingi Kaabah mengikut pergerakan jemaah. Jangan bertolak-tolak atau memotong jemaah dihadapan. Mulakan niat sebaik sampai di garisan mula pada sudut Hajar Aswad. Sambil bergerak mengelilingi Kaabah perlahan-lahan dengan gerakan semangkin menghampiri ke sisi Kaabah seperti lilitan spring. Pastikan Kaabah berada di sisi bahu kiri anda pada kedudukan yang betul. InsyaAllah dgn cara ini, anda akan merasa ia mudah hingga selesai 7 pusingan. Gunakan tasbih tawaf 7 biji untuk membantu mengingati kiraan bilangan tawaf. Jika ragu, cukupkan sehingga yakin 7 pusingan. Tawaf mesti berakhir di garisan pada sudut Hajar Aswad.

Untuk keluar, anda jangan terus menghalang arus gerakan jemaah yang sedang tawaf. Sebaliknya anda menyisih keluar secara perlahan-lahan menuju ketepi dataran tawaf. InsyaAllah anda akan dapat menyisih keluar ketika berada di belakang makam Ibrahim. Antara makam Ibrahin hingga sudut Yamani kepadatan jemaah agak longgar. Gerakan langkah sedikit laju berbanding diantara sudut Yamani hingga makam Ibrahim.

Jika anda memilih untuk membuat tawaf di tingkat atas, pastikan anda cukup bertenaga. Ia akan mengambil masa 45 minit walaupun kepadatan  agak longgar. Tawaf ditingkat atas ini, selain ia mengambil masa yang lama, tiang2 masjid menjadi gangguan untuk memastikan Kaabah berada di kedudukan yang betul di bahu kiri anda, terutamanya ketika mengelak tiang2 tersebut. Anda perlu berjalan mengereng ketika memintas tiang2 tersebut untuk memastikan Kaabah berada betul2 bahu kiri anda.

Bagi jemaah yang kurang upaya, boleh menggunakan kerusi roda, ada disediakan laluan khas untuk kerusi roda di tingkat ini.  Jemaah yang sihat dilarang menggunakan laluan ini untuk mengelakkan berlaku kesesakan atau kecederaan terlanggar kerusi roda.

Doa-doa tawaf jika ingin diamalkan ketika tawaf, hendaklah dihafal dan dilazimkan semenjak anda di tanah air lagi. Semasa anda berasak-asak tawaf, anda tak berpeluang untuk membuka dan membaca doa-doa tersebut. Jika anda berat hafalan, bacalah apa-apa wirid , zikir atau doa yang telah anda hafal. Cara ini anda tidak hilang tumpuan tawaf dengan memastikan Kaabah berada betul di sisi bahu kiri anda setiap masa semasa mengelilinginya.

Semoga penerangan ini dapat memberi gambaran kpd anda suasana ketika tawaf di Masjidil Haram.

Thursday, August 23, 2012

Panduan Am Jemaah Haji - Solat Di Masjidil Haram

SOLAT DI MASJIDIL HARAM:



Bagi yang belum pernah mengerjakan haji atau umrah, mungkin menggambarkan suasana di Masjidil Haram sama seperti keadaan masjid di Malaysia. Panduan ini mungkin dapat membantu jemaah haji memahami suasana di sini.

Solat Saf Hadapan:



Jika anda berharap untuk duduk disaf yang hampir dengan Kaabah, datanglah awal, seawal beberapa jam sebelum masuk waktu solat. Dimusim haji, Masjidil Haram menjadi tumpuan berjuta jemaah haji. Ada jemaah yang datang pagi untuk suboh dan balik selepas isyak. Oleh itu, jika anda datang lewat, jangan lah melangkah2 bahu jemaah lain untuk mendapat saf hadapan, belum tentu ada ruang kosong dihadapan. Bukan spt di Malaysia, jika kita datang lewat pun, masih ada saf hadapan yang kosong.

Masjidil Haram mempunyai beberapa tingkat untuk bersembayang. Lazimnya semangkin tinggi semangkin longgar kepadatan jemaah. Ada tangga bergerak disediakan untuk naik ketingkat-tingkat tersebut, atau gunakan tangga. Anda perlu bersabar, berbaris ikut giliran dan tak perlu berasak semasa naik dan turun.

Dataran disekeliling Masjid juga ada jemaah yang gunakan untuk bersembayang. Malah di waktu tertentu, hingga sampai ke jalan-jalan raya juga ada saf sembayang. Di tempat tersebut anda perlu ada sejadah sendiri. Sentiasa bawa bersama sejadah untuk kemudahan ini. Pihak masjid tidak menyediakan apa-apa sejadah.



Jika anda berada di saf pada laluan saie antara Safa dan Marwa, anda perlu beralih segera selepas selesai solat waktu, sebab kawasan tersebut digunakan oleh jemaah yang akan bersaie. Begitu juga jika anda berada disaf pada kawasan tawaf, anda perlu berundur untuk memberi laluan kepada jemaah yang mahu tawaf.

Jemaah Lelaki dan Wanita:
Jika anda datang bersama pasangan anda, pastikan anda berdua tidak duduk berdekatan. Lelaki duduklah dikelompok lelaki dan wanita duduklah dikelompok wanita. Cubalah elakkan dari bercampur antara lelaki dengan wanita. Buat janji tempat dan masa pertemuaan dengan pasangan anda. Di Masjidil Haram, suasana jemaah lelaki dan wanita bercampur ini amat ketara dan sukar dikawal, terutama di tingkat2 atas. Ia berbeza di Masjid Nabawi di Madinah, jemaah haji lelaki dan wanita dipisahkan dan terkawal. Anda akan rasai perbezaan suasana ini.

Panduan Am Jemaah Haji - Kasut

KASUT IHRAM:



Kasut adalah penting juga dalam kerja haji. Kasut yang sesuai boleh mengelakkan rasa was-was kerja haji kita. Disarankan guna kasut "selipar jepun" yang pasti mendedahkan kelima-lima jari kaki sepanjang masa. berbanding kasut jenis lain kadang kala anak jari kaki terlindung disebalik kulit kasut. Oleh itu untuk mengelakkan rasa was-was ini kemudian hari, sebaiknya gunakan kasut jenis "selipar jepun".

Untuk membeli kasut jenis ini, pilihlah saiz yang sesuai dengan kaki kita. Sebaiknya jenis yang lembut dan tiada tepian yang tajam pada tali kasutnya. Lebih elok jika dapat membiasakan diri memakai kasut jenis ini. Ia akan dapat mengeraskan kulit terutama pada celah ibu jari kaki dan kulit atas kaki yang terkena tali kasut. Kerja haji ini memerlukan banyak aktiviti berjalan. Dari maktab ke masjid ulang-alik setiap hari boleh menyebabkan kulit kaki yang bergesel dengan tali kasut ini terluka. Oleh itu jika kaki telah dibiaskan dengan kasut jenis ini, ia dapat mengelakkan kejadian luka disebabkan bergesel dikaki pada bahagian berkenaan. Luka dikaki walaupun kecil akan menyebabkan pergerakan terbatas.

Bagi jemaah haji yang belum pernah melakukan umrah atau haji, panduan ini mungkin dapat membantu. Sediakan karung kasut buatan sendiri. Seperti juga bag bagasi, berikan tanda tersendiri supaya mudah dikesan dan dikenali. Jangan guna bag plastik ketika membeli barang harian untuk karung kasut ini, kerana kaedah tersebut lazim digunakan oleh jemaah haji seluruh dunia. Anda akan kesukaran mengesannya kerana akan ada banyak karung plastik yang serupa di sana. Oleh itu karung kasut ini amat berguna ketika memasuki masjid. Masukan kasut yang dipakai dalam karung kasut ini dan letakkan ditempat yang disediakan. Tidak perlu dibawa bersama ketempat sembayang. Perhatikan keliling dan kenalpasti tanda-tanda sekitar supaya mudah untuk mengambil kembali kasut untuk keluar. Sebolehnya duduklah dilokasi yang mudah sampai ke lokasi simpanan kasut tersebut.

Jika anda datang ke masjid bersama-sama suami atau isteri atau rakan2 yang berjanji untuk masuk dan keluar balik bersama, masukanlah semua kasut dalam satu karung kasut atau rangkaikan kesemua karung2 kasut isteri/suami/teman anda. Cara ini anda/teman anda dapat mengesan samaada, isteri/suami/teman anda masih belum keluar masjid atau sudah beredar keluar. Tidaklah anda tertinggal teman atau ditinggalkan teman.

Jika kehilangan atau tak jumpa kasut atau tersalah letak kasut anda, usah bimbang. Jangan ambil kasut orang lain pula. Teruslah ke pasar disepanjang jalan perjalanan balik ke maktab. Belilah kasut yang baru.

Penerangan ini hanyalah sebagai panduan am sahaja, khusus bagi jemaah haji yang belum berpengalaman. Semoga bermenfaat.



Wednesday, August 22, 2012

Panduan Am Jemaah Haji - Tukaran Wang Riyal

TUKARAN WANG RIYAL:

Sebelum berangkat ke Mekah atau Madinah, jemaah haji disarankan menyediakan sedikit wang dalam mata wang Riyal Arab Saudi dan di bawa semasa perjalanan. Ia berguna untuk membuat apa2 pembayaran yang mungkin perlu semasa perjalanan sebelum sampai di Mekah atau Madinah. Di Mekah atau Madinah, pihak Tabung Haji ada menyediakan kauter pengeluran wang simpanan Tabung Haji di Maktab masing-masing.

Tukaran wang Riyal ini boleh dibuat di bank tempatan atau Pengurup Wang. Sediakan lah dalam nilai RM300.00 - RM500.00. Pastikan ia dalam nilai pecahan2 yang kecil walaupun dalam kepingan yang banyak. Nilai yang kecil ini memudahkan untuk pembayaran yang kecil nilainya. Jangan pilih nilai Riyal yang tinggi spt Riyal 500 sahaja. Ia mungkin mudah diisi dalam bag duit tapi ia sukar untuk dibelanjakan. Kadang kala nilai barang yang cuma beberapa Riyal sahaja spt air mineral terpaksa dibayar dengan Riyal tinggi disebabkan tiada tukaran. Memang mata wang Malaysia diterima oleh kebanyakan kedai di Mekah, tetapi ia akan lebih menguntungkan pihak penjual. Kepingan nilai Riyal yang tinggi yang anda ada hanya boleh dibelanjakan untuk nilai barangan yang berharga tinggi sahaja.

Pengalaman lalu saya, Pengurup Wang tempatan juga menolak untuk membuat tukaran Riyal 500.00 ini kenilai kecil disebabkan kepingan Riyal bernilai tinggi ini tidak mudah dijual semula, atau tak laku. Maksudnya, jika ia menyimpan Riyal 500.00, tiada pelanggannya yang akan meminta kepingan Riyal tersebut berbanding nilai yang kecil.

Kadang kala semasa dalam perjalanan, ada kutipan derma. Anda tentulah ingin turut menyumbang, tapi tidak dapat turut membuat sumbangan kerana tiada pecahan kecil dalam saku anda. Melainkan anda memang bersedia untuk menyumbang dengan nilai tinggi.

Penerangan ini adalah sebagai panduan tambahan sahaja, ia berpandukan pengalaman jemaah haji yang lalu. Semoga ia bermenafaat.

Panduan Am Jemaah Haji - Bagasi

BAGASI:

Setiap bag bagasi perlu dijahit atau dilekatkan dengan label jemaah haji Malaysia dan maklumat penerbangan, maktab haji, nama dan alamat kediaman di Malaysia. Tulis juga no telepon di Malaysia jika ada, supaya mudah dihubungi jika bagasi tersebut tercicir untuk dipulangkan. Kain pelekat ini lazimnya boleh dibeli dan dijahit di kedia urusan kerja haji.

Bagasi sebaiknya tidak terlalu besar atau terlalu kecil. Ia akan memudahkan perjalanan kita apabila ia dalam bidang keupayaan diri sendiri tanpa perlu bantuan orang lain. Usah bimbang jika kehabisan pakaian di Mekah atau Madinah. Ada masa untuk kerja membasuh. Malah boleh beli keperluan pakaian di sana. Tentu lebih mudah bawa wang dari membawa barang.

Memadai 1 bagasi sahaja. Mudah mengendalikan 1 bagasi yang agak besar berbanding jika mengendalikan beberapa bagasi yang kecil. Perlu diingat, semua jemaah haji mempunyai keperluan masing2. Oleh itu jika kita dapat kendali sendiri bagasi kita, ia akan memudahkan urusan haji kita.

Sebaiknya bagasi disalut dengan tali jaring yang kukuh. Ia untuk memudahkan semasa kerja2 pemunggahan. Pekerja pihak pengangkutan tidak ada masa memberi perhatian pada bagasi2 yang banyak untuk ia uruskan. Ia akan capai dan campak saja. Jika ada jaring ini, ia memudahkan pekerja tersebut. Kadang kala disebabkan kerja2 pemunggahan ini, bag bagasi tersebut pecah. Oleh itu jaring yang kukuh ini akan dapat mengelakkan pakaian bertaburan jika bagasi berkenaan pecah. Jaring bagasi ini boleh dibeli dikedai2 urusan haji. Pilih tali yang besar berbanding yang kecil. Tali yang besar lebih kukuh disamping tidak menyakitkan jari jemari semasa menariknya.

Lazimnya bag bagasi yang dibeli hampir serupa dengan bag bagasi jemaah haji lain. Oleh itu beri tanda pengenalan bagasi yang unik untuk bagasi sendiri. Usah guna tanda pengenalan yang biasa. Buat sendiri dengan tali atau kain dengan warna yang terang supaya mudah dilihat dan dikenal pasti. Memilih warna bag bagasi yang terang spt warna merah akan mudahkan kita mengenali bagasi kita. Warna hitam atau kelabu adalah warna lazim yang digunakan kebanyakan jemaah haji.

Jika perlu untuk beli barang untuk kenangan di tanah air, boleh beli sebanyak mana pun. Tapi pastikan ia dihantar melalui pos. Beli awal supaya boleh buat urusan pos barang2 tersebut dimasa senggang. Usah tunggu saat akhir, sebab ketika itu semua pihak akan terlalu sibok. Lazimnya ada wakil pos barang2 di Maktab2 jemaah haji Malaysia. InsyaAllah barang tersebut akan selamat sampai ke tanah air. Malah ia mungkin akan sampai lebih awal dari jemaah haji ke tanah air. Begitu juga dengan Air Zam-Zam, pos sahaja, tak perlu bawa melalui bagasi semasa balik. Ia akan menyusahkan diri. InsyaAllah ia akan selamat sampai ke tanah air jika diuruskan awal.

Panduan ini sebagai tambahan sahaja. Ia dari pengalaman jemaah haji yang lalu. Lain2 yang disyaratkan oleh Tabung Haji dan Pusat Penerbangan masih perlu dipatuhi.